Oleh Mahfir Sabtu
Nampaknya kegetiran sedang menimpa kita semua lepas satu persatu datang menimpa. Sepanjang dari pertengahan tahun lepas, UMNO bergaruk dengan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian. Selepas itu sibuk benar kita dengan calon-calon mendapatkan pencalonan.
Selepas dapat pencalonan, mereka mencari undi pula dari perwakilan hinggalah ke tarikh 24 hingga 27 Mac lalu baru selesai. Dalam pada itu Lembaga Disiplin UMNO dan SPRM pun sibuk membentangkan orang salah dihukum, orang salah tidak dihukum dan mengeluarkan amaran. Ini termasuklah yang sudah menang pun kena juga jalani hukuman hingga terbantut segala perancangan di akar umbi.
Itupun nampaknya ia masih belum selesai lagi apabila sebaik sahaja selesai pemilihan dijalankan, orang UMNO terpaksa bertaburan bergegas ke tiga tempat pilihan raya kecil di DUN Batang Ai di Sarawak, DUN Bukit Selambau, Kedah dan Parlimen Bukit Gantang.
Ketika itu pembangkang sudah lama mendirikan khemah masing-masing dan menjalankan aktiviti kempen tak rasmi di tempat-tempat rebutan kawasan.
Di waktu itulah juga Tun Mahathir Mohamad bergegas mengisi borang keahlian UMNO dan menyertai semula UMNO bersama anak isterinya dengan tekat mahu membantu UMNO dan BN memenangi kawasan-kawasan pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.
Keputusannya 2-1 (Pembangkang 2 dan BN 1). Maka ramailah yang kecewa dalam terpaksa menerima hakikat keputusan yang telah rakyat membuat pilihan mereka di ketiga-tiga kawasan itu.
Kehadiran Tun Mahathir di Bukit Selambau terutamanya di mana beliau anak jati Kedah tidak dipandang oleh orang Kedah lagi. Mereka merasakan kehadiran Tun Mahathir yang sudah jadi tidak menentu dalam politik tidak perlu diberi penghormatan lagi.
Beliau dilihat oleh Rakyat Kedah sebagai orang yang kejap keluar UMNO, kejap lagi masuk semula UMNO semata-mata kerana atas satu sebab beliau benci dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang mana itulah orang yang dilantiknya.
Ia menjadi pelik pada bukan sahaja pengundi-pengundi di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang mungkin jumlahnya majoriti. Kehadiran Tun Mahathir tidak sama sekali membantu BN. Silap-silap kerana Tun Mahathir hadir menjadi antara faktor menyebabkan ramai yang menyokong BN sebelumnya pusing balik menyokong pembangkang kerana menyampah agaknya.
Selepas pilihan raya kecil habis, seluruh rakyat Malaysia menunggu pula saat-saat bagaimana susunan anggota kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah memegang jawatan Perdana Menteri untuk menentukan siapa layak kekal, siapa layak masuk dan siapa akan digugurkan dan siapa yang bakal dipinggirkan.
Memang sudah menjadi tabiat rakyat Malaysia menjadi ghairah mahu tahu siapa yang Najib pilih dan atas sebab apa mereka dipilih dan sebab apa tidak dipilih. Perkara ini bukan mudah bagi seorang Perdana Menteri baru walaupun Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri serentak dengan Pak Lah jadi Perdana Menteri.
Yang paling penting bagi semua parti komponen BN termasuk UMNO semestinya ialah apakah Najib menggunakan anggota-anggota pemimpin di peringkat Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebagai penasihatnya secara collective atau dari kalangan kelompok yang rapat dengan beliau sahaja atau mana-mana bekas Perdana Menteri seperti Pak Lah dan Mahathir sama?
Kalau Najib seorang sahaja tidak mungkin kerana kalau beliau tidak minta nasihat dan pandangan dari sekurang-kurangnya dari tiga orang naib presiden untuk mencari satu keputusan membahagi-bahagikan tugas supaya kelihatan adil dan saksama sepertimana yang beliau janjikan sebelum ini akan menjadi perdana menteri yang tidak akan bertindak membabi buta.
Kalau Najib menggunakan individu untuk mendapatkan nasihat terutama yang jelas hari ini Tun Mahathir yang kelihatan tidak lekang dari perdana menteri baru ini, maka Najib boleh dianggap sedang menempah nahas untuk UMNO. Pastinya seperti Tun Mahathir mengeluarkan saranannya melalui blognya berupa amaran kepada Najib siapa patut dilantik dan siapa patut diketepikan. Kalau boleh, Mahathir mahu Najib ‘buang’ semua orang Pak Lah sebagai menunaikan dendam kesumatnya terhadap Pak Lah. Pastinya Khairy Jamaluddin ialah mangsa target utamanya.
Semua orang boleh membaca minda Tun Mahathir hari ini yang tentunya mahukan anaknya Mukhriz yang tewas Ketua Pemuda diberi tempat dalam kabinet kerana Mukhriz didakwa secara tidak langsung paling bersih dalam politik UMNO dan nasional.
Kalau Najib membuat lantikan salah pada Tun Mahathir, maka awal-awal lagi apa yang ditafsirkan dalam setiap tulisan Tun Mahathir dalam blognya, Najib akan dikerjakan pula sampai terkencit. Dalam hal ini, kasihan Najib. Apa yang dia mahu, sudah dapat jadi perdana menteri, tetapi malang baginya kerana Tun Mahathir sentiasa mahu sebelah beliau untuk menyampaikan bisikannya dan laksanakan apa yang disarankan. Pak Lah akan duduk diam memerhatikan sahaja gelagat-gelagat Tun Mahathir dengan Najib yang bukan main mesra lagi yang membawa maksud Najib kena dengar dan lakukan apa saja kata Tun Mahathir.
Kesimpulannya, sudah terlalu ramai berkata, kalau Najib membuat kesilapan dan tidak bertindak membuat pilihan dengan betul dan terpengaruh dengan bisikan Tun Mahathir, seterusnya Najib akan melakukan kesilapan demi kesilapan hingga membawa kepada perpecahan dalam UMNO. Dan UMNO terus berpecah dari segi rohnya hinggalah UMNO tidak sempat mengatur langkah dengan selamat bersama parti-parti komponen dalam BN untuk mengekalkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Ingatlah bahawa sesuatu yang bermula dengan titik tolak awalnya ikhlas dan tidak berkepentingan, ia akan membawa kepada dua kemungkinan – selamat dan tidak selamat. Tetapi kalau ia bermula dengan titik tolak awalnya tidak ikhlas dan berkepentingan akan pasti tidak selamat dan membawa padah akhirnya.
Kembali ke laman asal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment